Sukan

Hanya Ada Satu Safiq Rahim

Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rekod kemenangan 100% apabila pemain gantian, Safiq Rahim muncul penyelamat ketika menidakkan Lao Toyota 3-0 dalam aksi Kumpulan H Piala AFC.

Aksi di Larkin menyaksikan kapten pasukan itu mencetak dua gol menentang wakil Laos. Ia juga merupakan jaringan keenam setelah mengharungi tiga perlawnan dalam kejohanan tersebut.

Penguasaan skuad Harimau Selatan tidak mengejutkan namun anak buah Mario Gomez terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan gol pertama.

Sepakan penjuru S.Chanturu ditemui penyerang Safee Sali namun tandukannya gagal mencabar penjaga gol Lao Toyota, Vatthana Kaoduangdeth.

Pemain sayap, S.Kunalan dilayangkan kad kuning pertama perlawanan setelah didapati bersalah melakukan asakan yang agak membahayakan.

Kemudian, pergerakan baik Amri Yahyah menciptakan peluang untuk dirinya namun percubaannya mudah ditangkap oleh Vatthana.

JDT hampir membuka tirai jaringan menerusi Nazrin Nawi yang berjaya menyumbat bola ke dalam gawang pihak lawan. Bagaimanapun, pergerakannya tidak dapat mengelak perangkap ofsaid Lao Toyota.

Bersambung babak kedua, JDT terus menguasai perlawanan tetapi kesuntukan masa memaksa Gomez menurunkan dua pemain tunjang pasukannya lebih awal dari bangku simpanan iaitu penyerang Jorge Pereyra Diaz dan kapten, Safiq Rahim beberapa minit kemudian.

Sedikit kekecohan berlaku ketika pengadil ambil keputusan memberi sepakan penalti kepada JDT sekali gus melayangkan kad merah kepada pertahanan Lao Toyota, Takahiro Saito.

Safiq Rahim memulakan pergerakan apabila hantaran melintangnya ditemui Kunalan yang meluru ke arah pintu gol sebelum melakukan hantaran ke arah Safee Sali.

Lao Toyota berjaya menangani serangan tersebut, malangnya pengadil meniup wisel selapas Saito didapati bersalah gara-gara menggunakan tangan untuk menghalang tandukan Safee Sali di hadapan pintu gol.

Akhirnya, JDT memecahkan kebuntuan apabila Safiq menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk mendapatkan pendahuluan buat kali pertama.

Bagaimanapun, kontroversi tidak berhenti apabila JDT pula terpaksa menghabiskan perlawanan dengan 10 pemain selepas Kunalan dilayangkan kad kuning keduanya.

Sepakan penalti kedua diberi kepada JDT selepas Phatthana Syvilay mengasak Amri dalam kotak penalti. Sekali lagi, percubaan Safiq menepati sasaran ketika melakukan sepakan bergaya ‘panenka’ sekali gus mencetak gol keduanya pada malam itu.

Pada masa tambahan, usaha penyerang Amri Yahyah sepanjang 90 minit akhirnya membuahkan hasil ketika berganding dengan Safiq untuk menyudahkan peluangnya dalam kotak penalti yang berjaya melepasi kaki penjaga gol Lao.

Dengan kutipan 9 mata selepas tiga perlawanan, JDT mengekalkan posisi mereka sebagai peneraju Kumpulan H.

Sementara itu, Bengaluru FC mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Ayeyawady United di tempat lawan.

Tags
Show More

Related Articles