Sukan

Selangor catat kemenangan pertama Piala AFC 2016

Selangor hampir mencatat kekalahan keempat berturut-turut namun awang import Mauro Olivi dan Patrick Ronaldinho muncul penyelamat The Red Giants ketika menidakkan wakil Bangladesh, Sheikh Jamal DhC 4-3 di Stadium Nasional Bangabandhu, Dhaka.

Saingan Kumpulan E ini menyaksikan Patrick terlibat dalam tiga gol Selangor manakala Olivi menjaringkan dua gol termasuk gol penentu.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah membuka tirai jaringan terlebih dahulu menerusi percubaan jarak jauh penyerang dari Gambia, Landing Darboe pada minit ke-29.

Pendahuluan itu hanya dapat dikekalkan selama 10 minit sebelum Patrick berjaya menanduk masuk hantaran Olivi ke dalam gawang Sheikh Jamal.

Jika aksi separuh masa pertama tampak kurang menarik, babak kedua pasti tidak mengecewakan. Kekuatan fizikal Patrick terserlah ketika meluru ke kotak penalti sebelum melakukan hantaran ke arah R.Gopinathan yang merobek gawang Sheikh Jamal dengan mudah. Selangor mendahului perlawanan 1-2.

Selangor tersentak ketika pendahuluan itu dirampas pasukan tuan rumah yang meledakkan dua gol dalam dua minit pada minit ke-65 dan ke-66.

Gol penyamaan Sheikh Jamal dijaringkan Emeka Onuoha menerusi tandukannya di hadapan pintu gol. Kemudian, giliran kapten Wedson Anselme pula yang berjaya menyudahkan peluangnya dengan kemas.

Enggan diaibkan pasukan dari Bangladesh, Selangor bekerja keras untuk mendapatkan gol penyamaan dan kombinasi Patrick dan Olivi sekali lagi membuahkan hasil buat The Red Giants. Mauro Olivi mencetak gol pertamanya pada malam itu ketika menyudahkan hantaran Patrick dengan mudah pada minit ke-70.

Kemenangan disempurnakan buat Selangor apabila percubaan dalam kotak penalti daripada Olivi gagal ditangkap penjaga gol Sheikh Jamal pada minit ke-83.

Dua percubaan lewat pada minit ke-88 gagal dimanfaatkan Sheikh Jamal dan penjaga gol Norazlan berjaya mempertahankan pendahluan Selangor sehingga wisel penamat.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor kekal di tangga ketiga dalam carta Kumpulan E dengan 4 mata selepas 3 perlawanan. Manakala, Sheik Jamal turut mengekalkan posisi mereka sebagai pasukan tercorot kumpulan.

Sementara itu, seri 1-1 antara Tampine Rovers dan Ceres La Salle turut membantu cabaran Selangor melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.