Kesihatan

Apa Beza Resdung Dengan ‘Sinus’?

Istilah resdung dan ‘sinus’ sememangnya dua perkara yang sering di dengar oleh orang ramai. Anda mungkin mempunyai beberapa orang kenalan yang akan mengaku bahawa mereka menghidapi penyakit tersebut dengan merujuknya sebagai resdung atau ‘sinus’. Namun begitu, adakah kedua-keduanya memberi maksud yang sama?

Sekiranya anda pernah melayari laman sesawang tentang maksud istilah resdung, ketahuilah bahawa kebanyakan info yang ditulis di situ “bukan sahaja salah, tetapi juga agak menyeleweng,” kata Dr Ahmad Nordin, seorang pakar ENT.

Sinus merupakan satu rongga atau ruang seperti sinus vena atau sinus hidung. Sinus hidung (paranasal sinus) pula adalah rongga udara yang diselaputi mukosa di dalam tulang tengkorak dan mempunyai hubungan rongga hidung – sinus ethmoid, frontal, maksilari dan sphenoid. Satu fakta penting tentang sinus adalah, semua orang yang normal menghidapinya!

Resdung pula adalah penyakit hidung yang disebabkan oleh radang pada selaput sinus. Walau bagaimanapun, dari aspek istilah perubatan ianya kurang spesifik kerana kebanyakan penyakit hidung berkait dengan definisi tersebut.

Dr Ahmad telah memperkenalkan dua jenis penyakit yang sering dikaitkan dengan dua istilah tersebut, iaitu ‘Allergic rhinitis’ (alahan rhinitis) dan Sinusitis melalui pemeriksaan endoskopi.

Image-1-normal-tubinate  Image-2-allergic-nasal-endoscopy

 1. ‘Allergic rhinitis’ (alahan rhinitis)

Penyakit ini kadang-kadang boleh berlaku disebabkan oleh debu, perubahan cuaca, dan makanan. Selain itu, sejarah keluarga juga memainkan peranan yang utama dalam penyakit ini atau penyakit asma atau ‘eczema’.

Simptom-simptomnya adalah hidung tersumbat, hingus yang jernih (‘rhinorrhea’), bersin, dan gatal hidung dan mata. Kebiasaannya penyakit ini akan disahkan melalui pemeriksaan klinikal (endoskopi) bagi memastikan tiada ketumbuhan di dalam hidung.

2. Sinusitis
Ciri-ciri utama penyakit ini adalah seseorang itu akan mengalami hingus yang berwarna hijau, kuning, atau bercampur darah, sakit kepala yang sangat teruk di dahi atau muka, terutamanya di tengah hidung atau pipi. Anda juga mungkin akan mengalami hidung tersumbat dan demam. Selain daripada endoskopi, ujian imbasan CT juga akan dijalankan sekiranya terdapat komplikasi.

sinus-infection-sinusitis-what-are-the-signs-and-symptoms-of-sinus-infection-s6

Kesimpulannya, orang ramai yang mempunyai simptom-simptom di atas digalakkan untuk bertemu dengan doktor pakar bagi mendapatkan ujian fizikal tertentu supaya mendapat diagnosis dan rawatan yang betul, tidak kira sama ada ianya ‘resdung’ ataupun ‘sinus’

Show More

Related Articles