Sukan

Safiq sumbang 7/8 gol lawan Ayeyawady di Larkin

Tiga gol dan 4 bantuan daripada kapten Safiq Rahim pastikan Johor Darul Takzim melaungkan amaran awal ketika mencatat kemenangan 8-1 lawan Ayeyawady United dalam aksi Kumpulan H Piala AFC.

Juara bertahan membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 apabila rembatan terpesong Safiq Rahim dari luar kotak penalti memukau penjaga gol pihak lawan.

Namun keseronokkan para penyokong terhenti apabila perancang utama Ayeyawady, Thiha Zaw melepaskan rembatan kencang ke sudut kanan gawang Fahrizal Marlias pada minit ke-7.

Gandingan Mahali Jasuli dan S.Kunalan di sayap kanan membuahkan hasil pada minit ke-13 ketika hantaran Kunalan itu disempurnakan oleh penyerang berbisa, Jorge Pereyra Diaz.

Minit ke-30, gol ketiga disumbangkan pertahanan Marcos Antonio dan mencetuskan sedikit kontroversi kerana sepakannya terkena Aidil Zafuan. yang berada dalam posisi ofsaid, sebelum melepasi garisan gol.

Bersambung babak kedua, dominasi skuad Harimau Selatan diteruskan di hadapan para penyokong setia di Stadium Larkin.

Pergerakan licik Diaz di penjuru padang membuka peluang emas untuk melakukan lorongan yang disudahkan Safiq Rahim pada minit ke-48.

Semestinya, malam menjadi milik kapten Safiq yang menyempurnakan hatriknya sekali gus pastikan JDT memulakan misi pertahanan Piala AFC sebagai pemenang besar.

Sudah puas dengan hatriknya, Safiq melorong bola ke arah penyerang Juan Martin Lucero yang menggunkan ketenangannya untuk ledakkan gol pertamanya bersama JDT.

Gol itu menjadi pembakar semangat buat Lucero mendapatkan gol keduanya pada minit ke-86 sekali gus menggandakan pendahuluan JDT 7-1.

Safiq Rahim mencatat bantuan gol keempatnya menerusi hantaran sepakan percuma yang ditanduk oleh pertahanan Aidil Zafuan ke dalam gawang Ayeyawady.

Mimpi negeri pasukan Myanmar berakhir dengan keputusan akhir, Johor Darul Takzim 8-1 Ayeyawady United.

Tags
Show More

Related Articles