SukanTempatan

Aksi ‘Haram’ Lebih Mendebarkan – Pakar Psikologi

“Manusia lebih suka untuk menilai sesuatu yang dilarang atau tidak dibenarkan undang-undang atau masyarakat itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan untuk dilanggar.”

Berikut adalah kenyataan yang dipetik daripada  Astro Awani yang telah menghubungi ahli psikologi, Dr. Abdul Jalil Hassan gara-gara cadangan penutupan jalanraya demi perlumbaan motor secara halal.

Menurutnya, seandainya cadangan itu dijalankan maka masyarakat bakal berdepan risiko ‘counter-effective’.

“Kita tahu keghairahan berlumba haram ini macam-macam. Dengan ‘thrill’ mencelah kenderaan lain, disaksikan orang ramai selain berlumba secara percuma, ia memang menyeronokkan bagi mereka.

“Mereka mahukan keseronokan bertaruh, dan diangkat serta dipuja apabila menang. Benda-benda ini tidak sama dengan apa yang ditawarkan dalam lumba ‘halal’.

Dr. Abdul Jalil turut menerangkan bahawa habuan dan keseronokkan lebih lumayan jika ia terlarang. Mungkin ia akan kurangkan jumlah perlumbaan haram secara berperingkat tetapi ia juga mampu ketepikan anak muda itu ke arah yang lebih membimbangkan.

“Yang menjadi persoalan: sekiranya diwujudkan acara untuk mereka berlumba di bawah kawalan keselamatan dan sebagainya, adakah mereka yang sudah biasa dengan lumba haram ini akan menyertainya?

“Kemungkinan sebahagian besar daripada mereka tidak akan ke sana disebabkan ‘keseronokan’ itu.

“Sebelum ini pun ada usaha untuk membawa mereka ke trek-trek khas seperti trek Batu Tiga, Shah Alam dan beberapa lokasi lain, tetapi ia tidak mendapat sambutan,” ujarnya.

Jelas Dr Abdul Jalil, walaupun ia tidak mampu untuk menjadi penyelesaian berkesan kepada masalah lumba haram ini, ia sekurang-kurangnya memberikan alternatif kepada mereka untuk mencuba suasana baru.

Bagaimanapun, ia harus dikaji dengan terperinci supaya mekanisme pelaksanaannya mampu menyediakan platform yang berupaya memberi impak kepada aktiviti dan budaya anak muda.

“Ada tempat khas disediakan, mungkin juga disediakan dengan pasukan perubatan, perlindungan insurans dan sebagainya. Mungkin perlu dipertingkatkan kesedaran terhadap kepentingan menitik beratkan ciri-ciri keselamatan dalam aktiviti perlumbaan; sebelum, semasa dan selepas.

“Sekiranya mereka betul-betul berminat dalam perlumbaan bermotor, kita boleh anjurkan acara yang melibatkan pelbagai peringkat. Ada pemilihan di peringkat kampung, kemudian menjadi wakil di peringkat daerah, negeri dan seterusnya peringkat kebangsaan.

“Kita mungkin dapat membawa mat-mat motor ini kepada kerjaya sebagai pelumba profesional. Daripada sini juga kita dapat cungkil bakat supaya menjadi pelumba bertaraf dunia satu hari nanti,” jelasnya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker