Politik

Kepentingan Sokongan Keluarga Sebagai Seorang Ahli Politik

Sokongan moral daripada keluarga merupakan antara elemen terpenting untuk kita hadapi cabaran hidup. Tidak kira apa pun yang kita lakukan dalam hidup, sokongan mereka inilah yang akan menentukan sama ada kita akan terus maju ke hadapan atau sebaliknya.

Antara kepentingan sokongan keluarga terhadap seseorang individu itu adalah:

1. Memberi keyakinan bahawa setiap anggota keluarga akan sentiasa berada di sisi pada masa susah atau senang.

2 .Menyuburkan kasih sayang antara anggota.

3. Memberi kestabilan emosi kepada anggota keluarga yang menghadapi masalah atau kekeliruan dalam membuat pilihan.

4. Dapat memberi panduan dan tunjuk ajar berguna untuk menyelesaikan masalah.

 

Di dalam dunia ini, tiada satu pun pekerjaan yang mudah. Setiap pekerjaan pasti ada cabaran dan halangannya tersendiri. Kita harus hadapinya dengan penuh sabar dan cekal. Dalam ruangan kali ini, kami memberi fokus terhadap pekerjaan sebagai seorang ahli politik.

Anda mungkin mempunyai pandangan bahawa bekerja sebagai ahli politik adalah satu perkara yang mudah dan menguntungkan. Tetapi hakikatnya tanggungjawab seseorang ahli politik itu sangat berat dan besar. Apatah lagi di dalam dunia politik, keadaan tidak kekal dan sentiasa berubah-berubah.

Ia tidak semudah yang disangka kerana seseorang ahli politik harus menjalankan tanggungjawab dengan amanah demi kesejahteraan rakyat dan pada masa yang sama, mereka juga akan mempunyai ramai musuh yang sanggup menjatuhkan mereka melalui apa cara sekalipun.

Olehitu, sekiranya mereka tersilap langkah, mereka harus bersedia untuk menghadapi pelbagai kritikan dan juga cemuhan daripada orang ramai.

Bercakap tentang sokongan moral keluarga, kita boleh mengambil contoh keadaan yang dihadapi oleh Datin Mastura Mohd. Yazid, isteri kepada Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar 2016 pada 18 Jun 2016.

Kehilangan seseorang yang tersayang merupakan satu perkara yang amat memedihkan. Walaubagaimanapun, Datin Mastura telah dikurniakan 4 orang anak yang sentiasa memberinya semangat dan sokongan moral demi menjalankan tanggungjawab dalam meneruskan legasi arwah suaminya untuk berjasa kepada rakyat.

Sumber: BeritaHarian

Memetik laporan Sinar Harian, Datin Mastura yang berasal dari Negeri Sembilan dikenali sebagai seorang yang berjiwa rakyat dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja tanpa membezakan fahaman politik.

“Datin Mastura sering menemani arwah suaminya (Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad) apabila berjumpa dengan rakyat. Apabila sesiapa jatuh sakit, mereka berdua tidak pernah lupa meluangkan masa menjenguk dan memberikan bantuan”, kata Zalihaha Mat Kasa, 69, seorang penduduk dari Kampung Kepala Bendang.

Selain itu, pada Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-11, kami juga telah mendapat kesempatan untuk mengadakan satu sesi temubual eksklusif bersama Datuk Paduka Hajah Sharifah Mordiah Binti Tuanku Fauzi, seorang bekas Menteri Muda di Sarawak, yang juga ibu kepada calon Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan N7 Samariang, Sharifah Hasidah Syed Aman Ghazali, untuk mengetahui bagaimana beliau memberi sokongan kepada anaknya yang dipilih untuk menjadi wakil rakyat.

Sharifah Mordiah bersama anaknya, Sharifah Hasidah – Sumber: jiwabakti.com.my

Ketika sesi temu bual tersebut, Sharifah Mordiah menceritakan perasaannya ketika pertama kali anaknya dipilih untuk menjadi calon DUN kawasan Samariang pada tahun 2006.

“Waktu itu, memang saya rasa terkejut dan pada masa yang sama, ia satu penghargaan daripada YAB Ketua Menteri, kerana saya tidak menduga bahawa anak saya akan dipilih untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” kata beliau.

Menurut Sharifah Mordiah, anaknya bekerja sebagai seorang peguam dan masih tiada pengalaman dalam bidang politik ketika pertama kali dilantik. Tetapi, walaupun tidak mempunyai pengalaman, Sharifah Hasidah mempunyai pengetahuan dan pemahaman yang cukup luas tentang selok belok politik hanya dengan melihat pengalaman ibunya sendiri.

“Memang dia bukan ‘politician’. Dia adalah seorang peguam yang mempunyai ‘advocate-nya’ sendiri. Tetapi, pada masa yang sama, mereka telah faham dengan lebih dekat tentang politik.

“Dia banyak melihat pada pengalaman saya sebagai seorang ‘politician’. Jadi, dia tidak berasa asing apabila dilantik menjadi seorang YB kerana ‘environment’ keluarga kami memang suka dengan masyarakat”, kata Sharifah Mordiah.

Pada masa yang sama, beliau turut memanjatkan rasa syukur terhadap ilahi kerana anaknya dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

Sharifah Hasidah bersama Skuad Sayang Samariang – Sumber:jiwabakti.com.my

“Alhamdulillah, dengan adanya beliau dipilih menjadi calon, apa yang saya syukur ialah beliau dapat menjalankan tugas kerana mengikut pengalaman saya, hendak menjadi calon ini bukan sesuatu perkara yang mudah. Ini merupakan satu tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan kepada wakil rakyat.

“Oleh kerana kegigihan, keyakinan, dan sokongan daripada keluarga dan masyarakat, beliau (Sharifah Hasidah) dapat menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik sehingga kini,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Sharifah Mordiah turut menekankan bahawa sokongan keluarga memainkan peranan penting dalam melahirkan seorang pemimpin yang berjaya.

“Kalau nak jadi pemimpin yang berjaya, keluarga mestilah menjadi tulang belakang. Kalau tidak memang susah,” katanya.

Kesimpulannya, sokongan daripada keluarga telah terbukti memainkan peranan yang amat besar dalam membolehkan seseorang individu itu memperoleh kejayaan di dalam kehidupannya.

Maka dengan itu, janganlah sesekali kita mengabaikan mana-mana ahli keluarga kita, kerana orang lain mungkin tidak mampu memberi semangat seperti mana yang kita berikan kepada mereka.

Tags
Show More

Related Articles